Kemunculan filem genre drama romantik beri lebih pilihan kepada penonton
KALAU Sharad Sharaz sudah berjaya mengangkat novel Lagenda Budak Setan ke filem, itulah juga yang cuba dilakukan oleh Osman Ali apabila dia menghasilkan karya terbarunya Ombak Rindu.
Ombak Rindu adalah novel tulisan Fauziah Ashari yang dihasilkan kira-kira 12 tahun lalu. Ia mengangkat kisah cinta romantik mengenai gadis kampung yang terjerat ke lembah hina sehinggalah Izzah muncul untuk menjadi penyelamat masa depannya.
Pastinya kemunculan filem Ombak Rindu akan mengubah sedikit lanskap perfileman kita yang sarat dengan cerita seram walaupun diakui genre itu cukup diminati. Namun, kehadiran filem bergenre drama romantik sedikit sebanyak memberi pilihan kepada penonton untuk berubah selera.
Bagi Osman Ali yang juga antara pembaca naskah tulisan Fauziah itu, mengakui tawaran mengangkat karya sarat emosi itu ke medium lebih luas sebagai cabaran besar untuknya menterjemah pengorbanan cinta wanita dari sisi berbeza.
Sebagai pengkarya, lamaran Astro Shaw dan Tarantella Pictures Sdn Bhd untuk mengemudi adapatasi daripada novel ke skrin lebar sememangnya satu peluang yang sudah diidam sekian lama.
“Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya menyahut cabaran Sharad Sharan selaku penerbit untuk menggarap novel yang diikuti ramai peminat. Di dalam novel banyak plot serta ramai watak sampingan namun untuk filem kita menumpukan kepada subjek penting.
“Kisahnya masih menjurus kepada pergolakan hidup Izzah, kemelut dalam diri Hariz, kin merasai cinta isterinya itu selain tersepit antara permintaan keluarga dan kemahuan diri. Begitupun, kronologi kisah masih tiada perubahan, cuma ia lebih sarat dengan emosi,” katanya pada sesi sidang media Ombak Rindu.
Filem yang mengambil lokasi sekitar Kuala Lumpur, Langkawi, Kedah dan Danok (Thailand) itu dibarisi Maya Karin sebagai Izzah, Aaron Aziz (Hariz), Lisa Surihani (Mila), Bront Palarae, Julia Ziegler, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi, Nadia Nisa, Mislina Mustafa dan Kamarul Yusof.
Akui Osman, antara cabaran sudah pasti ‘meMelayukan’ aktres berdarah kacukan, Maya Karin yang menunjangi filem ini baik dari segi karektor, penampilan mahu pun lenggok percakapannya malah dalam kisah ini Izzah dizahirkan bertudung selain pandai mengaji.
Pengarah ini menggunakan kepakaran Ellie Suriati sebagai pembimbing barisan pelakon untuk membentuk Maya sebagai Izzah serta ‘melarikan’ Lisa Surihani dengan karektor gadis agresif dan ia tidak sesukar disangka, malahan menakjubkan apabila masing-masing cukup menyerlah.
“Kami sengaja meletakkan Maya sebagai gadis kampung manakala Lisa menjadi agresif untuk mencari kelainan kerana sebelum ini belum pernah mereka mendapat watak yang sangat kontras. Karektor berlawanan ini antara warna yang menyerlahkan lagi perjalanan Ombak Rindu.
“Selain watak, keutamaan saya adalah syot cantik namun bagi saya antara momen yang cukup mencabar adalah penggambaran di tengah laut di Langkawi di mana satu kren besar di pasang semata-mata mahu mengambil sudut terbaik babak dalam kapal layar,” katanya mengenai filem yang mengambil masa 45 hari untuk disempurnakan itu.
Osman yang mengakui cukup teruja dengan pembikinan Ombak Rindu menyatakan Izzah sebagai simbolik nasib kaum wanita yang sering menjadi mangsa keadaan, ingin dicintai namun perasaan itu kadang-kadang menuntut pengorbanan yang tidak berpenghujung.
Sementara itu, Fauziah berkata usaha mengangkat novel itu ke pawagam sebagai penghormatan sekali gus menjadi bonus kepada pembaca yang sudah menantikan hasrta itu direalisasikan sejak sembilan tahun lalu.
Tersentuh dengan hati Izzah
MAYA Karin berasakan ditawarkan memegang watak gadis Melayu kampung bertudung yang pandai mengaji sebagai peluang keemasan untuk menepis tanggapan dirinya hanya sesuai melakonkan peranan wanita sofistikated dan urban apatah lagi banyak mainan dalaman perlu ditonjolkan.
“Ombak Rindu adalah novel Melayu pertama yang saya baca kira-kira 10 tahun lalu yang juga pemberian rakan. Terasa air mata menitis apabila mula-mula membacanya. Izzah sangat sabar, menyimpan rasa dan sanggup mengenepikan perasaan sendiri membuatkan saya cukup kagum.
“Apabila diminta menyelami watak Izzah dalam medium filem, saya mencari semula novel ini untuk membacanya. Biar berapa kali pun muka surat diselak hingga penamat, emosi saya seakan merasai segala yang dilalui Izzah. Jujurnya di alam realiti Izzah mengajar saya supaya lebih bersabar,” katanya.
Rakan seperjuangan, Lisa pula cukup berbesar hati menghidupkan watak Mila yang mempunyai sisi hitam dan putih sebagaimana insan lain cuma bezanya gadis ini terasa dikhianati membuatkan dirinya seakan memberontak.
“Secara logiknya manusia tidak terkecuali mempunyai sisi hitam dan putih. Sebagai bakal isteri kepada Hariz, saya perlu seimbangkan supaya tidak terlalu jahat dan tidak terlampau baik apabila di pengakhiran kisah ini ada kemanisan untuk dikongsi,” katanya yang tidak sabar menantikan kemunculan filem itu.
Kisah tragis menyayat hati itu juga disulami lagu tema yang menyentuh sanubari hasil gubahan Nurzaidi mengambil judul bersempena nama filem yang disampaikan Hafiz bersama Adira.
0 ulasan:
Catat Ulasan